KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Hajjah Jumaani Tuanku Bujang telah menghadiri dan menyempurnakan Majlis Iftar Darul Hana 2025 yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan & Lindungan Tanah (LCDA) bertempat di sebuah hotel terkemuka di bandaraya ini.
Sejurus ketibaan, Premier Sarawak dan isteri telah menyempurnakan penyampaian simbolik Sumbangan Hari Raya berjumlah RM18,750 kepada 40 wakil daripada keseluruhan 125 penerima yang terdiri daripada golongan anak yatim dan asnaf.
Sumbangan ini melibatkan penerima daripada 13 kampung di kawasan Projek Pembangunan Darul Hana di mana setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM150.
Dalam majlis tersebut juga, Premier turut menyaksikan penyerahan Zakat Perniagaan 2024 oleh LCDA berjumlah RM2,297,726 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang disampaikan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Sr. Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak , Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Seramai 600 tetamu menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada kakitangan LCDA, ketua-ketua masyarakat Kampung Seberang Hilir, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil media yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan Projek Pembangunan Darul Hana.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain serta ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan Kumpulan Syarikat LCDA.